Welcome

Blog ini adalah untuk rujukan diri sendiri dan keluarga.. Khas untuk suami tercinta dan anak-anak yang menbahagiakan dan dalam masa yang sama memeningkan dan memenatkan kami berdua..


Ya Allah sesungguhnya
Aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbinganMu
Aku cacat tanpa hidayahMu
Aku hina tanpa rahmatMu

Blog ini ibarat 'scrap book' ataupun buku rujukan aku yang mengumpulkan koleksi artikel yang aku gemari especially artikel yang berlambak-lambak di internet. Artikel-artikel ini bukannya ditulis oleh aku tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca. Untuk berkongsi cerita ceriti hasil air tangan aku sendiri meh ahh datang ke BLOG RUANGAN KELUARGA KITA


Bookmark and Share

Thursday, January 28, 2010

Petua Membentuk Anak-anak Dengan Budi Pekerti Mulia

Hati anak-anak kecil adalah suci laksana mutiara yang berharga, indah, bersih dari segala gurisan dan bentuk. Ia akan menerima apa saja yang di buat terhadapnya. Jika dibiasakan itu dengan perbuatan-perbuatan baik yang diajarkan kepadanya, ia akan besar dalam keadaan itu, sehingga berbahagialah kehidupannya dunia dan akhirat. Kedua ibu bapa, guru pendidik dan semua orang yang turut mengasuhnya akan bersyarikat dalam mendapat pahala dari Allah Taala.

Sebaliknya, jika anak-anak itu dibiasakan dengan perbuatan-perbuatan yang jahat dan dicuaikan pendidikannya seperti kehidupan binatang yang terbiar, tentu sekali ia akan menjadi celaka dan binasa, dan dosanya turut terpikul ke atas pundak walinya atau penanggungjawabnya.

Allah Taala berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. (At-Tahrim: 6)

PENDIDIKAN ANAK-ANAK DI PERINGKAT AWAL
Kedua-dua ibu bapa yang bersungguh-sungguh untuk melindungi anak-anak mereka dari api dunia perlu mengetahui bahawa melindungi mereka dari api akhirat adalah lebih penting dan lebih utama lagi.

Cara melindungi anak itu ialah dengan memberinya pendidikan yang baik dan membiasakannya dengan segala akhlak dan budi pekerti yang terpuji, memeliharanya daripada pergaulan dengan kawan-kawan jahat. Ibu bapa jangan sekali membiasakan anak-anak dengan kesenangan yang berlebih-lebihan ataupun mengikutkan kemahuan anak-anak dalam serba serbi kemewahan dan perhiasan diri, kelak anak-anak itu akan menghabiskan umurnya berkecimpung dalam menuntut kemewahan dan kesenangan. Ini akan menarik mereka kepada kebinasaan yang berterusan.

Yang paling perlu sekali, ibu bapa harus memerhati pendidikan anak-anak sejak mula-mula pertumbuhannya. Mereka tidak mengupah orang untuk mengasuh atau menyusukan anak, kecuali setelah dikenalpasti dia seorang perempuan yang soleh, baik urusan agamanya dan makan hanya yang halal sahaja.

Apabila dilihat ada tanda tamyiz (kepandaian) pada anak itu, maka hendaklah dia memperketatkan lagi pengawasan terhadapnya. Permulaan tanda-tanda tamyiz ialah tumbuhnya sifat malu pada diri. Sebab itu ia sudah pandai malu dan meninggalkan sebahagian dari kelakuan-kelakuan yang tertentu, maka itulah tanda-tanda tertibnya cahaya pemikiran di dalam akalnya. Dan ini juga adalah gejala-gejala baik yang menunjukkan bahawa akhlak anak itu telah lurus, dan hatinya telah bersih.

Anak yang pemalu tidak seharusnya dibiarkan begitu saja, malah hendaklah ia dibantu dengan menambah lagi pendidikan dalam sikap malunya dan tamyiznya.


ASAS-ASAS PENDIDIKAN UNTUK ANAK-ANAK
1.Asas adab makan untuk anak-anak

Sifat yang mula-mula akan menonjol pada anak-anak, ialah kegelojohan dengan makanan. Ia harus dididik dengan cara-cara dan adab sopan menghadapi makanan iaitu:
1. Jangan mengambil makanan melainkan dengan tangan kanan sahaja.
2. Membaca Bismillah apabila mula menyuap makanan
3. Jangan tergesa-gesa mengambil makanan sebelum orang lain mengambilnya.
4. Jangan meliarkan pandangan kepada makanan, ataupun meneliti muka orang yang sedang makan.
5. Jangan terlalu cepat atau gelojoh apabila makan.
6. Mengunyah makanan baik-baik sebelum telan.
7. Jangan sampai mengotorkan tangan dan pakaian dengan makanan itu.
8. Membiasakan makan roti tanpa lauk-pauk pada sesetengah waktu, supaya seleranya tidak memandang wajib adanya lauk-pauk dalam makanan.


Ibu bapa harus mengingatkan anak-anak, bahawa banyak makan itu sifat yang tercela, dan orang yang suka makan banyak mempunyai tabiat yang buruk. Dan ibu bapa hendaklah memuji anak yang pandai menjaga adab dalam menghadapi hidangan makanan, dan anak yang makannya sedikit.

Ibu bapa juga harus membiasakan anak-anak, supaya suka mendahulukan orang lain dalam hidangan makanan dan selalu bersikap puas dengan makanan yang ada saja, yakni tidak terlalu cerewet.


2.Asas adab pakaian untuk anak-anak
Ibu bapa harus tidak menggalakkan anak-anak lelaki memakai pakaian yang berwarna-warni, ataupun memakai pakaian sutera dan menyatakan kepada mereka, bahawa pakaian berwarna atau sutera itu adalah pakaian kaum wanita, ataupun pakaian orang pondan. Orang lelaki harus merasa malu apabila memakai pakaian serupa itu. Hal ini hendaklah diingatkan kepada anak-anak itu berulang kali. Perlihatkan rasa tidak senang jika anak lelaki itu suka mencuba-cuba pakaian menyerupai perempuan.


3.Asas adab pergaulan anak-anak
Hendaklah ibu bapa memelihara anaknya daripada bercampur-gaul dengan budak-budak yang telah dibiasakan dengan kehidupan bersenang-lenang dan bermewah-mewahan atau memakai pakaian yang indah-indah. Ibu bapa juga harus melindungi anak-anaknya dari orang yang memperdengarkan kepadanya sesuatu yang tidak baik.

Sebab apabila anak itu tidak dikawal sejak dari mula, nescaya ia akan dikuasai oleh berbagai-bagai sikap yang rendah, seperti buruk budi pekerti, pendusta, pendengki, pencuri, suka meminta dengan paksaan, suka menjaga tepi kain orang, banyak tipu daya dan suka membuat sesuatu yang tidak berguna. Maka seharusnya anak itu diberikan perlindungan dari segala sifat tadi, iaitu dengan jalan mendidiknya dari permulaan pertumbuhannya.

4.Asas agama untuk anak-anak
Anak itu hendaklah dihantar ke sekolah supaya dia belajar al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w., mendengar cerita-cerita para salihin dan sejarah kehidupan mereka agar tertanam dalam hatinya kecintaan terhadap orang-orang yang mulia itu. Hendaklah ia dijaga supaya tidak membaca atau mendengar lagu-lagu yang melukiskan gambaran asyik masyuk dan orang-orang bercinta-cintaan, kerana ini akan menumbuhkan benih-benih kerosakan di dalam dirinya.

5.Teknik pendidikan akhlak
Apabila terlihat budi pekerti dan kelakuan anak yang terpuji,maka hendaklah dia dimuliakan dan dibalas dengan sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya dan dipuji kelakuannya yang baik itu di hadapan orang ramai. Tetapi jika ia terlanjur sesekali dalam sesetengah perkara, maka hendaklah berpura-pura terlupa atau tidak nampak akan kelakuannya yang salah itu.

Jangan sekali-kali memalukan anak itu atau membuka rahsianya, dan janganlah menampakkan kepadanya, bahawa ada orang lain yang berani melakukan sepertinya. Terutama sekali apabila anak itu telah mencuba untuk menutup keaibannya, dan bersungguh-sungguh cuba menyembunyikan kesilapannya. Sebab membuka rahsianya mungkin akan menimbulkan perasaan tindak balas anak itu, sehingga ia menjadi berani mengulangi kelakuan yang salah itu, meskipun diancam untuk didedahkan kesalahan itu kepada orang ramai.


Tetapi sekiranya ia mengulangi lagi perbuatan salah itu bagi kali kedua, maka sebaiknya hendaklah ia ditegur secara rahsia dan menyatakan, bahawa perkara yang dibuat itu tidak patut dibuat oleh seseorang sepertinya. Kemudian hendaklah ia diingatkan sekali agar jangan kembali melakukan perkara seperti itu lagi, kerana akan memalukan dirinya jika diketahui orang.

Apabila menegur anak, janganlah terlalu banyak mencelanya pada setiap waktu, sebab ini akan menyebabkan, telinga si anak menjadi tebal (tidak mengendahkan segala celaan itu). Dia akan terus berani membuat kesalahan dan segala nasihat yang dihamburkan kepadanya tidak akan meninggalkan apa-apa kesan di dalam hatinya.

Haruslah seseorang ayah dan ibu itu bijak mengendalikan cara-cara berbicara dengan anaknya. Ia tidak menegur atau memarah anaknya melainkan pada masa-masa yang tertentu. Bagi ibu pula harus pandai memainkan peranannya, iaitu dengan mengingatkan si anak supaya bersifat segan kepada ayah dan menegahnya supaya menjauhi segala kelakuan yang buruk.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Beauty Tip of the Day