Keluarga yang harmoni dibina dengan susah payah, bukan terbina dengan sendirinya. Untuk bahagia, suami perlu berusaha. Isteri pun perlu berusaha. Suami kena buat pengorbanan, isteri juga perlu bersusah payah. Pendek kata, kedua-dua belah pihak kena saling faham memahami, saling bertolak ansur dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Si suami kena tahu peranan, tugas dan tanggungjawabnya. Si isteri juga begitu, ada peranan dan tanggungjawabnya pada suami. Masing-masing kena tunaikan hak kepada pasangan masing-masing.
Berikut ini dikongsikan beberapa tips bagaimana untuk jadikan rumahtangga yang dibina agar sentiasa harmoni dan bahagia. Sila baca dan amalkan;
1. Tukar Paradigma kolot. Fikirkan perkara yang positif seperti rumahtangga yang dihiasi dengan suasana kasih sayang, romantik dan hilai tawa bersama dengan keluarga. Ianya satu kemestian dan satu tuntutan.
2. Suami isteri mestilah mempunyai niat perkahwinan yang baik. InsyaAllah suasana-suasana yg indah mudah dijalinkan. Perbanyakkanlah berdoa selalu kepada Allah.
3. Sebagai suami isteri, hubungan yang wujud di antara keduanya bukan hanya sekadar suami dan isteri, tetapi mestilah berusaha menjadi pasangan kawan karib yang cukup rapat supaya segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan mudah dan dapat juga menghindari rasa malu yang melampau.
4. Kita mesti belajar untuk berkorban semata-mata untuk menjaga hati dan perasaan orang lain. Jangan mudah marah tetapi amalkan sifat mudah memaafkan orang lain khususnya di dalam konteks rumahtangga.
5. Allahyarham P.Ramlee pernah mendendangkan sebait lagu yang berbunyi, “Perkara lama jangan dikenang…” Itulah hakikat yang mesti dilakukan. Tidak wajar untuk menyimpan perasaan dendam dan benci terhadap pasangan kerana ia akan merugikan kita kelak.
6. Komunikasi juga memainkan peranan yang cukup berkesan dalam membentuk hubungan romantik di antara suami isteri. Perbanyakkan pujian, nasihat yang penuh hikmah supaya kata-kata yang diucapkan itu tidak menyinggung perasaan pasangan kita. .
7. Perkara yang jarang dilakukan walaupun dengan percuma dan mudah tapi sangat berkesan. Perkara yang mudah seperti, amalkan senyuman sewaktu pulang dari kerja, memperbanyakkan sentuhan seperti di bahu, di kepala, di tangan dan sebagainya. .
8. Meluahkan apa yang terpendam dengan terus terang. Jangan terlalu memendam perasaan. Mungkin pasangan kita tidak tahu atau mungkin memang sengaja tak mahu tahu, tetapi yang penting berterus teranglah.
9. Sebagai seorang suami, perkara yang jarang dilakukan ialah memberikan penghargaan yang istimewa kepada isteri. Ianya boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti suami seperti mengajak isteri bersama “candle light dinner” atau memberikan hadiah penghargaan khas.
10. Apabila keluar bersantai, beriadah mahupun bersiar-siar, amalkan berpegangan tangan kerana ia akan merangsang emosi kita dan memberikan keyakinan kepada suami isteri.
11. Suami atau isteri mestilah menegur setiap kesilapan yang dilakukan di antara mereka, dan bukannya bersekongkol dengannya. Perkara penting yang perlu dititikberatkan ialah menyampaikan teguran dengan penuh hikmah dan bijaksana.
12. Sebagai seorang suami ataupun isteri, jangan terlalu mengongkong pasangan anda. Mereka juga mempunyai hak untuk bersosial bersama dengan kawan-kawan dan masyarakat
13. Segala kerja-kerja di rumah tidak seharusnya dibebankan kepada bahu seorang individu sahaja. Kerja-kerja rumah merupakan kerja jamai’e atau kolektif di antara suami isteri.
14. Sekiranya suami dan isteri sudah mempunyai anak, ajarlah anak-anak itu semenjak dari kecil lagi untuk menghargai kasih sayang ibu bapa.
15. Hubungan seksual yang sihat dan sempurna juga mampu mengukirkan dan mengekalkan keseimbangan seterusnya mencambahkan suasana romantik dan kasih sayang di antara suami dan isteri.
Kepada yang belum kahwin, bolehlah catatkan tips ini dalam buku nota dan berazam sungguh-sungguh untuk praktikkan apabila dah berkahwin kelak. Bagi yang dah berumahtangga, jangan sekadar baca saja. Yang penting, amalkan apa yang kita dah tahu. Saya yakin, kalau kita dapat praktikkan apa yang dituliskan, pasti rumahtangga kita akan lebih harmoni dan bahagia, insyaAllah.
0 comments:
Post a Comment