Resipi Ibu Berpantang
Secara umumnya, wanita di dalam pantang tidak dibenarkan makan makanan laut (udang, ketam, sotong) kerana boleh menyebabkan kegatalan pada luka; telur boleh menyebabkan luka lambat sembuh dan mungkin bernanah
Ikan yang boleh dimakan adalah dari jenis bersisik (tidak bisa) atau yang tidak menyebabkan kegatalan seperti ikan siakap, haruan (menyembuhkan luka), bawal putih/hitam, gelama dan ikan tenggiri.
Antara sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak dibenarkan adalah seperti kubis, tebu, air kelapa dan buah anggur kerana akan menyebabkan tubuh sejuk atau 'berangin'.
1. SUP IKAN HARUAN
Bahan-bahan:
1 ekor ikan haruan
2 cawan air
2 sudu makan minyak jagung
1 sudu makan lada hitam – ditumbuk
3 ulas bawang merah - ditumbuk [A]
2 ulas bawang putih - ditumbuk [A]
2 sm halia - ditumbuk [A]
1 keping asam keeping
Garam secukup rasa
Daun bawang & daun sup – dihiris
Cara menyediakan:
a) Ikan dipotong dan dibersihkan dengan air asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir. Bilas dengan air bersih. Toskan.
b) Panaskan minyak jagung dalam periuk. Tumiskan bahan A hingga wangi. Masukkan air.
c) Apabila mendidih, masukkan lada hitam, asam keping dan ikan. Kacau rata dan masak lagi hingga mendidih.
d) Taburkan daun bawang, daun sup dan garam. Kacau rata dan hidangkan.
2. IKAN HARUAN ASAM KUKUS
Bahan-bahan:
1 ekor ikan haruan – dibersihkan
1 cawan air asam jawa
3 sudu makan minyak jagung
2 sudu makan kicap cair
1 sudu makan serbuk lada hitam
sudu teh gula pasir
1 sudu teh tepung jagung - campurkan sedikit air
1 tangkai daun kesum
1 batang bunga kantan – dihiris
Garam secukup rasa
Bahan kisar [A]:
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sm kunyit hidup
1 sm lengkuas
1 batang serai – diketuk
1 sudu teh lada hitam – ditumbuk
Cara menyediakan:
a) Ikan digaul dengan garam dan serbuk lada hitam. Ketepikan selama 30 minit.
b) Panaskan minyak dalam periuk. Tumiskan bahan A hingga wangi.
c) Masukkan air asam jawa, kicap cair, gula dan garam. Bila mendidih, masukkan pes tepung jagung, daun kesum dan bunga kantan. Kacau hingga pekat.
d) Sementara itu, kukus ikan haruan tadi sehingga masak. Letak dalam pinggan.
e) Apabila kuah mendidih, tuangkan atas ikan tadi sehingga rata. Hidangkan.
3. DAGING LADA HITAM
Bahan-bahan:
500 gm daging lembu
1 biji bawang besar - dihiris
5 ulas bawang putih - dicincang halus
2 sudu makan minyak jagung
1 sudu makan lada hitam - ditumbuk kasar
1 sudu makan kicap manis
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Daging dihiris nipis dan dibersihkan.
b) Panaskan minyak jagung. Goreng daging hingga agak garing. Angkat.
c) Masukkan bawang besar dan bawang putih ke dalam baki minyak gorengan tadi. Kacau hingga wangi.
d) Kemudian masukkan semula daging, kicap, lada hitam dan garam. Kacau rata-rata kemudian angkat. Hidangkan.
4. PAIS IKAN TENGGIRI
Bahan-bahan:
2 potong ikan tenggiri (anggaran 400 gm) - dibersihkan
1 sudu teh asam jawa - campurkan 3 sudu makan air
1/2 sudu teh serbuk kunyit
3 helai daun pisang - dilayur
3 ulas bawang merah - ditumbuk (A)
1 biji cili merah - ditumbuk (A)
1 ulas bawang putih - ditumbuk (A)
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Satukan bahan A dengan serbuk kunyit dan air asam jawa. Tambah garam. Lumurkan campuran ini pada ikan hingga rata. Perapkan selama 30 minit.
b) Bungkus ikan ini dengan daun pisang. Bakar atas bara api atau dalam ketuhar dengan suhu 200 darjah C hingga masak. Angkat dan hidangkan.
5. IKAN SIAKAP PANGGANG
Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap
50 ml pati santan
1 batang serai - dikisar [A]
2 ulas bawang merah - dikisar [A]
1 sm kunyit hidup - dikisar [A]
1 ulas bawang putih - dikisar [A]
1 sudu makan minyak masak
1 sudu teh gula pasir
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Perap ikan dengan separuh bahan A selama 1 jam.
b) Letak ikan di atas aluminium foil. Bakar dalam ketuhar dengan suhu 180 darjah C selama 15-20 minit atau sehingga masak.
c) Panaskan minyak dan tumiskan lebihan bahan A hingga garing. Masukkan santan dan kacau hingga pekat.
d) Kemudian masukkan garam dan gula pasir. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan dengan ikan siakap.
6. IKAN TENGGIRI GORENG HALIA
Bahan-bahan:
1 keping ikan tenggiri
4 sm halia - dihiris & digoreng
2 sudu makan minyak bijan
1-2 sudu makan kicap manis
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh garam
Cara menyediakan:
a) Lumur ikan dengan garam dan serbuk kunyit. Biarkan selama 20 minit.
b) Panaskan minyak bijan dan goreng ikan sehingga garing. Ketepikan.
c) Tinggalkan sedikit minyak dalam kuali. Masukkan ikan semula. Tuangkan kicap dan kacau rata.
d) Angkat ikan dan letak ke dalam pinggan. Taburkan halia goreng di atasnya. Sedia untuk dihidangkan.
7. IKAN GELAMA PANGGANG
Bahan-bahan:
1 ekor ikan gelama
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Sedikit garam
Cara menyediakan:
a) Ikan dibersihkan. Jika suka, kelar badan ikan supaya ikan cepat masak.
b) Gaulkan dengan garam dan basuh hingga bersih. Toskan.
c) Kemudian gaulkan ikan dengan garam dan serbuk kunyit. Panggang atas bara api hingga masak. Sedia untuk dihidangkan.
8. AYAM KUKUS BERCUKA
Bahan-bahan:
8 ketul ayam
4 ulas bawang putih - ditumbuk
1 sm halia - ditumbuk
3 sudu makan cuka
Garam secukup rasa
Bahan tumbuk [A]:
1 sudu makan ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
Cara menyediakan:
a) Lumurkan ayam dengan bawang putih, halia dan garam. Perap selama 30 minit. Kemudian kukus ayam sehingga masak.
b) Tuangkan cuka pada ayam dan taburkan bahan A. Kukus lagi selama 5 minit.
Nota: Masakan yang mengandungi cuka sangat baik diambil oleh ibu selepas bersalin kerana dapat mengecutkan perut dan rahim.
9. AYAM MASAK BIJAN
Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam - dibuang kulit, dipotong & dibersihkan
4 sm halia tua - dihiris halus
3 sudu makan minyak bijan
1 - 2 sudu makan kicap manis
Sedikit garam
Air secukupnya
Cara menyediakan:
a) Panaskan minyak bijan dalam kuali. Tumis halia hingga wangi.
b) Masukkan ayam dan kacau rata. Tutup kuali dan masak ayam selama 20 minit dengan api kecil. Tuangkan sedikit air supaya tidak terlalu kering.
c) Akhir sekali, masukkan kicap dan kacau rata. Bila ayam masak, tutup api. Tambah garam jika perlu.
10. HATI MASAK BEREMPAH
Bahan-bahan:
300 gm hati lembu
2 sudu makan serbuk lada hitam
1 sudu makan serbuk rempah kari
1 sudu teh serbuk ketumbar
4 ulas bawang putih - dikisar [A]
2 ulas bawang merah - dikisar [A]
2 sm halia - dikisar [A]
1 sm lengkuas - dikisar [A]
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Hati lembu dipotong dan dibersihkan.
b) Gaulkan hati lembu dengan bahan A, garam dan serbuk rempah yang lain sehingga rata.
c) Perapkan semalaman di dalam bekas bertutup yang disimpan dalam peti sejuk.
d) Bakar dalam ketuhar pada suhu 200 darjah C selama 30 - 35 minit atau sehingga masak.
Nota: Hati lembu menambahkan darah.
11. HALWA HALIA
Bahan-bahan:
250 gm halia - dihiris nipis
250 ml air
5 ulas bawang putih - dibakar & dibelah dua
2 sudu makan gula pasir
1 sudu teh cuka
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Celur halia dalam air panas selama 5 minit. Toskan.
b) Masak gula pasir, garam, cuka dan air hingga mendidih. Sejukkan.
c) Masukkan halia dan bawang putih ke dalam mangkuk. Tuangkan air rebusan tadi. Tutup kemas dan biarkan semalaman.
12. JUS HALIA KURMA
Bahan-bahan:
200 gm halia
20 biji buah kurma
750 ml air masak
Cara menyediakan:
a) Tumbuk halia hingga lumat.
b) Belah buah kurma dan buangkan bijinya.
c) Jerang halia, kurma dan air dalam periuk. Renehkan selama 3 jam. Bila mendidih, perlahankan api.
d) Tapis dan kemudian hidangkan panas atau suam.
13. REBUSAN MANJAKANI
Bahan-bahan:
5 biji buah manjakani
500 ml air
2 sm halia tua
2 sm kunyit tua
2 keping asam keping
Cara menyediakan:
a) Satukan kesemua bahan ke dalam periuk.
b) Jerang di atas api sederhana hingga mendidih.
c) Perlahankan api dan renehkan selama 10 minit.
d) Tapis dan minum air ini setelah suam.
Nota: Manjakani berfungsi untuk mengering dan mengetatkan pangkal rahim. Tidak sesuai diminum oleh gadis/anak dara kerana ditakuti menjadi penyebab mandul.
14. REBUSAN PEGAGA
Bahan-bahan:
2 ikat pegaga
5 cawan air
Cara menyediakan:
a) Rebus pegaga dengan air di dalam periuk hingga tinggal anggaran 3 cawan air sahaja.
b) Minum apabila suam (2 kali sehari).
Nota: Minum air rebusan pegaga untuk membersihkan darah dalam tubuh ibu yang baru melahirkan anak.
15. TUMIS SAWI PUTIH
Bahan-bahan:
5 tangkai sawi batang putih - dipotong
1 sm halia - dihiris
10 ekor ikan bilis - dibersihkan
1 sudu teh minyak masak
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Cara menyediakan:
a) Tumiskan halia dan ikan bilis dalam minyak panas hingga garing.
b) Masukkan sawi. Kacau rata dan tuangkan air.
c) Tutup sebentar dan biarkan lembut. Tambah garam dan angkat.
Nota: Sawi putih membantu menambahkan susu ibu.
16. PERIA LADA HITAM
Bahan-bahan:
1 biji buah peria - dihiris
200 ml air
100 gm ikan bilis - dibersihkan
2 ulas bawang putih - dicincang halus
2 batang serai - diketuk
1 sm kunyit hidup - ditumbuk halus
1 sudu makan lada hitam - ditumbuk kasar
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk lada sulah
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Masukkan semua bahan kecuali peria ke dalam kuali. Jerangkan.
b) Kacau sekali-sekala hingga mendidih.
c) Masukkan peria dan masak lagi hingga empuk.
d) Masakan hendaklah dikacau selalu bila bertambah pekat dan kering.
17. TEMPE GORENG KICAP
Bahan-bahan:
5 keping tempe - dihiris panjang
50 gm ikan bilis - dibersihkan
3 ulas bawang merah - dikisar [A]
2 ulas bawang putih - dikisar [A]
2 biji cili merah - dikisar [A]
1 sudu makan kicap pekat
1 1/2 sudu teh cuka
1 sudu teh gula pasir
Sedikit daun bawang - dihiris
Minyak masak
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Panaskan minyak dan goreng tempe hingga separuh garing. Toskan.
b) Masukkan ikan bilis dan goreng hingga garing. Toskan.
c) Tinggalkan sedikit minyak dan tumiskan bahan A hingga wangi. Jika perlu, masukkan sedikit air.
d) Masukkan tempe, ikan bilis, kicap, cuka, daun bawang, garam dan gula pasir. Kacau rata dan masak hingga kering.
18. SUP SAYUR CAMPUR
Bahan-bahan:
400 ml air
200 gm brokoli
1 biji lobak merah
1/2 biji lobak putih
1/2 batan seleri
3 helai daun kubis
Secubit serbuk pati ikan bilis
1 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa
Bahan tumbuk [A]:
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu teh rempah biji
1 sudu teh lada hitam
1/2 sudu teh jintan putih
Cara menyediakan:
a) Potong lobak merah, lobak putih dan seleri. Ceraikan brokoli menjadi berkelopak. Kubis pula dihiris kasar.
b) Panaskan minyak masak ke dalam periuk. Tumiskan bahan A hingga wangi.
c) Masukkan serbuk pati ikan bilis dan air.
d) Apabila mendidih, masukkan sayur-sayuran.
e) Bila sayur lembut, masukkan sedikit garam, kacau rata dan tutup api. Sajikan panas-panas.
Nota: Sayur-sayuran ini membanyakkan air susu ibu.
14 years ago
0 comments:
Post a Comment