Pages

Friday, March 19, 2010

Waktu Pantang

MASA PANTANG

Penjagaan selepas bersalin atau dalam pantang sama pentingnya dengan penjagaan ketika hamil. Tubuh ibu memerlukan pemulihan dari segi emosi dan jasmani sebelum bersedia untuk hamil lagi. Beberapa amalan tradisi perlu dielakkan demi menjaga tahap kesihatan ibu dan juga kesihatan anak yang kini bergantung sepenuhnya pada ibu.

PEMULIHAN SELEPAS BERSALIN

Jagaan selepas bersalin amat penting untuk mempercepatkan proses pemulihan. Wanita selepas bersalin pulih seperti sediakala dari segi kesihatan jasmani dan rohani serta keadaan mentalnya, pemulihan kejelitaaannya khususnya dari segi paras, rupa dan bentuk badan serta pemulihan fungsi kewanitaan khususnya dalamn perhubungan kelamin.
  Pada waktu hamil dan ketika melahirkan anak, banyak perubahan berlaku pada wanita. Antara perubahan yang sangat ketara ialah berat badan yang semakin meningkat. Di samping itu perubahan fisiologi juga kerap berlaku seperti kandungan cecair darah meningkat, denyutan jantung yang kuat dan lebih kerap, tekanan darah dan pernafasan yang meningkat lebih dari biasa, kulit yang menjadi renggang dan retak, timbul urat pada kaki serta perubahan mungkin berlaku di peringkat biokimia sel atau tisu badan. Ketika bayi dilahirkan pula, wanita mengalami suatu perubahan agak serius yang boleh dianggap sebagai kecederaan. Ini disebabkan oleh proses kelahiran bayi yang perlu melalui saluran kemaluan yang sempit. Ini menyebabkan saluran ini renggang dan kadangkala cedera.
  Sesetengah wanita perlu digunting kemaluannya yang kemudian akan dijahit semula untuk membaiki luka akibat guntingan itu. Luka pada rahim ketika hamil kini terpisah ketika bayi dilahirkan. Ini menyebabkan sebahagian besar dinding rahim menjadi luka parah. Selain daripada perubahan fizikal atau jasmani yang berlaku pada wanita, perubahan mental dan emosi juga berlaku. Wanita yang sedang hamil dan melahirkan anak mengalami tekanan jiwa yang berat kerana kedua-dua proses kehamilan dan kelahiran ini dianggap sebagai faktor yang menekan. Ada sesetengah wanita mengalami tekanan jiwa yang begitu kuat sehingga mereka mengalami kesedihan (depression). Malah sesetengahnya pula menjadi terganggu jiwa (psychosis) selepas melahirkan anak.
  Kehamilan dan kelahiran juga akan mengganggu hubungan kelamin. Perubahan fizikal isteri mungkin menyulitkan perhubungan ataupun mengurangkan kelesaan. Selepas lahir pula, perhubungan kelamin tidak digalakkan untuk sementara waktu. Waktu puerperium atau waktu pantang yang biasanya selama 42 hari dianggap sebagai waktu pemulihan dariapada semua gejala kecederaan, tekanan jiwa dan mental serta pemulihan fungsi kewanitaan. Pada ketika ini juga rahim pula kuncup dan mencerut kepada saiz yang kecil seperti keadaan sediakala. Proses ini digelar involution. Proses pemulihan boleh dipercepatkan dengan beberapa cara yang diamalkan oleh wanita sendiri dan kadangkala ini boleh dipendekkan sehingga jangka waktu empat minggu, manakala sesetengahnya pula mengambil masa yang lebih lama sedikit iaitu lapan minggu. Secara puratanya, jangka waktu enam minggu adalah mencukupi.
 Cara Mempercepatkan Pemulihan
Keadaan dan tahap kesihatan serta pemakanan ketika hamil dan melahirkan anak adalah penting dan mesti diberi keutamaan supaya proses pemulihan boleh berlaku dengan cepat. Jika seseorang wanita itu mengalami masalah kekurangan makanan dan keadaan kesihatannya tidak baik, nescaya proses pemulihan akan mengambil masa yang lebih panjang. Penting dinyatakan segala masalah kesihatan perlu diberi rawatan yang sewajarnya ketika wanita itu hamil. Penting juga baginya mendapat makanan yang seimbang khususnya makanan yang mengandungi lebih zat protein seperti daging, ayam, ikan, telur dan sumber makanan yang mengandungi banyak vitamin seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Pil vitamin dan zat besi perlu dimakan ketika hamil untuk menentukan keadaan darahnya mencukupi.
  Makanan yang mengandungi banyak protein dan vitamin perlu dimakan selepas bersalin. Amalan pantang larang makanan perlu dielakkan kerana ini boleh menjejaskan proses pemulihan luka pada rahim dan pada saluran kemaluan. Begitu juga proses pemulihan.
  Kepercayaan memakan sesetengah jenis makanan seperti ikan berduri atau udang boleh menyebabkan bentan atau luka bernanah adalah tidak benar. Sebenarnya, luka yang bernanah yang disebabkan oleh jangkitan kuman adalah berpunca daripada jagaan kebersihan yang kurang memuaskan. Luka akibat pembedahan sesarean atau guntingan episiotomi perlu dijaga kebersihannya dengan baik. Bagi pembedahan sesarean, penting luka itu tidak dibasahi air selama dua minggu. Jangkitan kuman boleh berlaku akibat takungan darah di bawah hirisan pembedahan.
  Oleh kerana kawasan kemaluan sering dibasahi dengan darah nifas dan mungkin dikotori oleh saluran najis dari depan atau belakang, baik bagi mereka membersihkan luka dua atau tiga kali sehari dengan menggunakan air garam ataupun air Dettol.
  Kadangkala jangkitan kuman boleh dijauhi dengan menyemburkan ubat antibiotik yang bercampur dengan antiseptik di bahagian kemaluan. Salah satu jenis ubat sembur yang biasa digunakan dermoplast. Ubat ini boleh mengurangkan kesakitan dan menjauhkan jangkitan kuman.
  Selain daripada memberi faedah pemakanan dan hubungan rapat dengan ibu dan bayi, penyusuan badan juga boleh mempercepatkan proses pemulihan rahim. Penyusuan menyebabkan rahim kuncup dan mencerut dengan lebih cepat daripada biasa. Apabila bayi menyusu, sejenis hormon dikeluarkan daripada kilang pituitary. Hormon inilah yang menyebabkan rahim kuncup. Biasanya dua minggu selepas melahirkan anak, rahim yang besar sudah tidak boleh dirasai di atas perut kerana ia telah tenggelam dalam rongga punggung walaupun saiznya masih besar lagi. Biasanya ia pulih kepada saiz biasa dalam masa empat minggu selepas bersalin. Proses pemulihan rahim menjadi terganggu jika berlaku jangkitan kuman atau adanya ketumbuhan pada rahim.
  Setelah melahirkan anak, biasanya wanita mengalami kesakitan pada bahagian rahim yang digelar sebagai after pain. Ini disebabkan oleh kuncupan yang berlaku pada rahim. Kesakitan ini biasanya mengambil masa yang agak singkat, mungkin dua atau tiga hari dan mudah diatasi dengan ubat-ubat penawar sakit seperti Panadol. Kesakitan ini juga boleh dikurangkan dengan meletakkan botol air panas atau karung getah yang diisi dengan air panas.
  Dalam amalan tradisi wanita menggunakan tungku panas yang boleh mengatasi masalah kesakitan ini. Kepanasannya memudahkan aliran darah keluar daripada rahim serta juga mempercepatkan proses pencerutan rahim. Amalan berbengkung baik jika dilakukan dalam masa dua minggu selepas bersalin. Pada masa itu, saiz rahim masih besar dan dengan berbengkung memberi sokongan supaya tidak menekan sangat ke bawah menyebabkan kekenduran otot di lantai punggung. Berbengkung juga boleh memberi sokongan kepada otot perut yang keluar akibat kehamilan dan ia juga memberi keselesaan kepada wanita setelah melahirkan.
      Pendarahan selepas bersalin atau nifas biasanya berlaku selama dua minggu dan ia tidak banyak berbeza daripada darah haid. Jika berlaku tumpah darah, ini mungkin menandakan sisa uri atau selaput bayi mungkin tertinggal, atau jangkitan kuman telah berlaku. Dalam hal ini rawatan cemas adalah diperlukan. Sesetengah wanita mengalami nifas yang berpanjangan tetapi jika pendarahan tidak terlalu banyak, keadaan ini tidak perlu dibimbangkan.
  Gerak otot atau senaman adalah sangat penting selepas bersalin. Segala gerak otot ini perlu dipelajari sebelum melahirkan anak. Ini bertujuan memperkukuhkan dua kumpulan otot iaitu otot pada lantai punggung dan otot pada perut. Bagi otot perut ia boleh kendur akibat kehamilan dan kelahiran. Bagi otot perut ia boleh dipulihkan kembali kekuatannya dengan membuat senaman yang mudah sambil berbaring. Senaman boleh dilakukan dengan mengangkat badan daripada kedudukan berbaring. Jika ini dilakukan berulang-ulang kali dalam sehari, nescaya otot akan menajdi tegang semula dan pulih dengan cepat. Bagi otot lantai punggung pula, senaman yang agak khusus boleh diajarkan kepada wanita oleh jurupulih anggota. Ini juga boleh dilakukan setiap hari sejurus selepas bersalin dan secara terus-menerus supaya ia boleh memperkukuhkan tone pada otot lantai punggung.
  Keteguhan dan kekuatan otot ini adalah sangat penting dalam menentukan keselesaan hubungan kelamin di masa akan datang. Saya ingin menekankan setiap wanita perlu  menjalani senaman ini bukan sahaja dalam waktu pantang tetapi secara terus-menerus dalam hidup mereka supaya hubungan antara suami isteri memberi hasil yang diharapkan.
  Senaman keseluruhan badan adalah sangat digalakkan untuk mempercepatkan proses pemulihan kesihatan tubuh dan mental. Senaman boleh diperolehi dari buku dan risalah panduan.
  Mengurut tidak akan mempercepatkan pemulihan seperti anggapan sebahagian besar wanita Melayu. Urut adalah satu perbuatan yang pasif. Walaupun demikian ia memberi keselesaan kepada tone muscle yang menjadi lemah semasa hamil. Mengurut memberi rasa keseronokan serta menyegarkan badan, tetapi tidak akan memperkukuhkan tone otot.
  Ramai percaya makan jamu selepas bersalin akan mempercepatkan proses pemulihan. Tidak ada satu kajian saintifik yang dijalankan oleh pakar untuk menentukan hakikat ini. Walaupun demikian banyak yang percaya memakan jamu itu memberi keselesaan dan kepanasan badan. Ini diperlukan kerana kebanyakan wanita berasa kesejukan selepas melahirkan anak. Bagi ibu yang menyusukan bayi, memakan jamu mungkin boleh mengganggu penyusuan kerana sesetengah bayi mungkin mengalami cirit-birit ataupun bayi tidak mahu menyusu kerana air susu diresapi oleh sedikit jamu.
 

No comments:

Post a Comment