Pages

Wednesday, February 24, 2010

Sukarnya berbahagi suami

Bermadu, perkataan yang manis di mulut namun pedih di hati. Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja tahu kesukaran yang perlu dihadapi.
Ditanya pada setiap wanita pasti tidak mahu dan seboleh-bolehnya mengelak daripada berada dalam situasi tersebut.
Tidak kira sama ada menjadi isteri tua mahupun isteri muda. Kedua-duanya pasti akan merasai pahit dan maungnya bermadu.
Namun sebagai makhluk Tuhan, siapalah kita untuk menolak takdir Maha Pencipta, menepis qada dan qadar yang telah tertulis.
Walaupun cuba dielak dan ditepis, jika itulah takdirnya maka harus didepani dengan reda. Mungkin setiap yang berlaku pasti ada sebab dan musabab yang terselindung oleh-Nya kepada kita.
Menurut Perunding Motivasi Kaunseling, Hushim Salleh, wanita bermadu perlu mempunyai kekuatan yang tersendiri terutama bagi yang bergelar isteri muda.
“Wanita yang mengambil keputusan untuk menjadi isteri muda perlu mempunyai jati diri yang kuat serta sabar dalam menangani dugaan hidup.
“Hal ini penting dalam menangani suasana kehidupan yang normal seperti orang lain,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Bagaimanapun, semua tohmahan dan cemuhan itu tidak akan berlaku sekiranya suami boleh mengatasi permasalahan ini dengan aman tanpa menyakitkan hati di kedua-dua belah pihak.
Tegasnya, bagi mewujudkan perkahwinan yang bahagia biarpun hidup berpoligami, setiap isteri perlulah saling faham memahami dan hormat menghormati di antara satu sama lain.
“Bagi isteri tua, dia perlu bersabar biarpun hatinya remuk ekoran suaminya memiliki insan lain. Kesabaran adalah penting meneruskan hubungan rumah tangga.
“Sementara isteri muda pula perlu kuat dalam menghadapi dugaan hidup selepas memilih untuk meneruskan hubungan walaupun mengetahui lelaki tersebut sudah beristeri,” katanya.
Selain itu katanya, sebagai isteri kedua, perlulah membuatkan hati sentiasa sibuk. Jika ia dibiarkan kosong nanti yang duduk di dalamnya adalah iblis.
Sebenarnya, wanita kini sukakan lelaki yang matang dan sudah pasti ciri-ciri itu hanya ada pada lelaki yang berusia dan berpengalaman dalam rumah tangga.
Namun, faktor utama mengapa wanita sanggup menjadi isteri kedua adalah kerana kesunyian, kesepian dan juga faktor usia yang semakin matang.
Akuinya lagi, tidak salah bergelar isteri muda asalkan pandai membawa diri.
Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan dalam firmannya yang bermaksud: ‘Kahwinlah kamu dengan perempuan baik bagi kamu, dua, tiga atau empat. Sekiranya kamu khuatir tidak dapat berlaku adil (terhadap mereka) cukuplah satu sahaja’- Surah al-Nisa’:3.
Berdasarkan pengertian ayat ini menunjukkan bahawa amalan bermadu merupakan satu cara hidup berumah tangga berasaskan landasan syariat yang menghendaki agar sentiasa wujud keharmonian hidup dalam keluarga.
Namun harus diingatkan, biarpun bergelar isteri kedua atau ketiga dan keempat, hak sebagai isteri tetap sama.
Islam tidak membezakan isteri pertama, kedua atau sebagainya. Selagi dia bernikah secara sah, hak kesemua isteri adalah sama.
“Tidak ada bezanya, hak mereka juga sama. Cuma yang berbeza adalah status seseorang wanita itu selepas diijabkabulkan.
“Jika anak dara haknya lain manakala seorang janda haknya juga berbeza.
Bagaimanapun hak di sini bermakna bilangan hari selepas diijabkabul. Jika yang dikahwini itu adalah seorang dara maka bilangan hari bersama suami adalah tujuh hari berbanding pula status janda bilangan hari bersama suami adalah tiga hari,” jelasnya.
Namun dari segi tanggungjawab dan sebagainya, kata Hushim, hak isteri tetap sama .
Dalam mengamalkan permasalahan poligami, suami pula harus memainkan peranan seadil-adilnya terhadap kedua-dua isteri.
“Kecacatan poligami sebenarnya bukan dari segi prinsip tetapi lebih kepada perlaksanaan yang menyimpang daripada syariat .
“Ini terbukti daripada statistik menunjukkan bahawa 80 peratus pengadu yang mengadu mempunyai masalah rumah tangga adalah kaum Hawa, ini secara langsung membuktikan bahawa krisis rumah tangga berpunca daripada kelalaian kaum Adam,” jelasnya lagi.
Secara fitrah dan nalurinya, emosi isteri pertama sudah tentu akan terganggu akibat daripada berbahagi kasih.
“Oleh itu, peranan suami amat penting dalam membahagikan kasih sayang dan juga menjalankan tanggungjawab,” katanya serius.
Jelasnya, dalam menjalani cabaran kehidupan wanita yang bergelar isteri muda haruslah tabah mengharunginya.
“Lupakan kesedihan dengan banyak mengingati anugerah Allah yang dikurniakan kepada diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, nikmat Allah bukan sekadar harta semata-mata tetapi juga kebahagiaan dalam kehidupan seharian.
“Atasilah masalah hati dengan membuat aktiviti-aktiviti supaya sentiasa sibuk.
“Jika hati disakiti, carilah tempat selamat. Sibukkan diri dengan memanfaatkan setiap detik yang berlalu agar ia membuahkan pahala,” terangnya lagi.
Bagaimanapun jelasnya lagi, kebahagiaan rumah tangga itu bermula daripada hati dan juga tubuh badan yang sihat.
“Jika hati sakit pastinya boleh menjejaskan kesihatan jasmani juga, hiduplah dengan dengan aktiviti yang bermanfaat .
“Selain itu, tanamkan azam di dalam diri untuk atasi segala dugaan dan bersyukur apa yang ada, malah jalan yang paling penting mohon pada Yang Maha Esa supaya merestui perkahwinan itu ke jalan bahagia,” katanya.
Oleh ZUHAYATI YAZID

No comments:

Post a Comment