Pages

Wednesday, January 06, 2010

PEMULIHAN SELEPAS BERSALIN

   Pada waktu hamil dan ketika melahirkan anak, banyak perubahan berlaku pada wanita. Antara perubahan yang sangat ketara ialah berat badan yang semakin meningkat. Di samping itu perubahan fisiologi juga kerap berlaku seperti kandungan cecair darah meningkat, denyutan jantung yang kuat dan lebih kerap, tekanan darah dan pernafasan yang meningkat lebih dari biasa, kulit yang menjadi renggang dan retak, timbul urat pada kaki serta perubahan mungkin berlaku di peringkat biokimia sel atau tisu badan. Ketika bayi dilahirkan pula, wanita mengalami suatu perubahan agak serius yang boleh dianggap sebagai kecederaan. Ini disebabkan oleh proses kelahiran bayi yang perlu melalui saluran kemaluan yang sempit. Ini menyebabkan saluran ini renggang dan kadangkala cedera.


   Sesetengah wanita perlu digunting kemaluannya yang kemudian akan dijahit semula untuk membaiki luka akibat guntingan itu. Luka pada rahim ketika hamil kini terpisah ketika bayi dilahirkan. Ini menyebabkan sebahagian besar dinding rahim menjadi luka parah. Selain daripada perubahan fizikal atau jasmani yang berlaku pada wanita, perubahan mental dan emosi juga berlaku. Wanita yang sedang hamil dan melahirkan anak mengalami tekanan jiwa yang berat kerana kedua-dua proses kehamilan dan kelahiran ini dianggap sebagai faktor yang menekan. Ada sesetengah wanita mengalami tekanan jiwa yang begitu kuat sehingga mereka mengalami kesedihan (depression). Malah sesetengahnya pula menjadi terganggu jiwa (psychosis) selepas melahirkan anak.

   Kehamilan dan kelahiran juga akan mengganggu hubungan kelamin. Perubahan fizikal isteri mungkin menyulitkan perhubungan ataupun mengurangkan kelesaan. Selepas lahir pula, perhubungan kelamin tidak digalakkan untuk sementara waktu. Waktu puerperium atau waktu pantang yang biasanya selama 42 hari dianggap sebagai waktu pemulihan dariapada semua gejala kecederaan, tekanan jiwa dan mental serta pemulihan fungsi kewanitaan. Pada ketika ini juga rahim pula kuncup dan mencerut kepada saiz yang kecil seperti keadaan sediakala. Proses ini digelar involution. Proses pemulihan boleh dipercepatkan dengan beberapa cara yang diamalkan oleh wanita sendiri dan kadangkala ini boleh dipendekkan sehingga jangka waktu empat minggu, manakala sesetengahnya pula mengambil masa yang lebih lama sedikit iaitu lapan minggu. Secara puratanya, jangka waktu enam minggu adalah mencukupi.

No comments:

Post a Comment